Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, sebarang kegiatan eksport pasir laut perlu mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setakat ini, menurut Xavier, hanya empat syarikat yang telah diberi lesen mengeksport pasir laut dengan kapasiti kurang daripada dua juta tan.

“Pasir laut boleh dieksport ke negara lain tapi memerlukan kelulusan Perdana Menteri, Kabinet memutuskan tetapi beliau yang perlu luluskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata pasir laut di Malaysia hanya untuk kegunaan dalam negara, bukan dieksport termasuk ke Singapura.

“Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara Mei tahun lalu, kita putuskan pasir laut tidak dieksport ke mana-mana negara.

“Bukan hanya ke Singapura tapi negara-negara lain juga, sebaliknya ia hanya untuk kegunaan tempatan,” katanya.

Antara sebab utama aktiviti mengorek pasir tidak boleh dieksport adalah kerana perolehan pendapatannya sangat kecil dan hasilnya perlu diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Hasil kajian mendapati aktiviti mengorek pasir hanya boleh dilakukan dalam jarak tiga kilometer di luar pesisir pantai supaya ia selamat kepada alam sekitar.

“Buat masa ini kita sedang tambak tanah di Pulau Pinang dan Melaka manakala Negeri Sembilan pun dikatakan memulakan program yang sama, jadi semua kawasan ini memerlukan banyak pasir laut iaitu kira-kira 15 juta tan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette