Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berjalan keluar selepas menghadiri pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam Penggal Kedua di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menghabiskan masa selama 45 minit dalam pertemuannya bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Tempoh itu diambil untuk membolehkan jawatankuasa tersebut membangkitkan isu pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong Jee Keen berkata, pihaknya telah menanyakan mengenai isu pelantikan Latheefa pada 1 Jun lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu berpuas hati dengan penerangan Latheefa mengenai lantikan beliau.

“Proses pelantikan mengikut undang-undang adalah jelas Seksyen 5 Akta SPRM iaitu kuasa pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Kita jawatankuasa Parlimen di mana terma rujukan kita meneliti pelantikan beberapa pelantikan jawatan termasuk Ketua SPRM supaya ia atas atas dasar merit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pertemuan tersebut, yang turut dihadiri anggota jawatankuasa lain antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas- Kubang Kerian); Syed Ibrahim Syed Noh (PKR-Ledang) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Pada 21 Jun lalu, William Leong berkata, PSC mahu menyoal Latheefa mengenai tiga isu berkaitan pelantikannya.

Isu berkenan adalah bagaimana Latheefa dapat menjalankan tugas dengan adil sebagai bekas ahli PKR; bagaimana beliau mampu memerangi rasuah sedangkan tiada pengalaman; serta visi dan misinya untuk agensi anti-rasuah itu.

Pelantikan Latheefa diumumkan awal bulan ini bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memendekkan tempoh perkhidmatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM lebih awal. -MalaysiaGazette