JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas seekor anak babi hutan yang dipelihara oleh seorang lelaki berusia 58 tahun di rumahnya di Taman Nusantara, dekat Gelang Patah, semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, haiwan itu dirampas dalam operasi pada jam 4.40 petang selepas menerima aduan orang ramai mengenai tindakan permilik rumah tersebut yang memelihara haiwan itu di kawasan kediaman mereka.

“Siasatan awal mendapati anak babi tersebut telah dipelihara sejak lapan bulan yang lalu sebagai haiwan kesayangan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Salman, siasatan dijalankan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana kesalahan menyimpan spesies hidupan liar tanpa lesen yang sah daripada Jabatan Perhilitan.

Jika sabit kesalahan, katanya, lelaki berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihati orang ramai yang berminat menyimpan hidupan liar sebagai haiwan peliharaan agar memohon lesen dan menyimpan spesies bersesuaian.

Memelihara babi hutan sebagai haiwan kesayangan adalah tidak sesuai kerana boleh mengancam keselamatan pemilik serta orang ramai jika ia terlepas serta boleh mengganggu keselesaan jiran-jiran berhampiran, katanya. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.