Borhan Dolah.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengesahkan penarikan semula surat pelantikan Datuk Seri Mohammad Iskandar Mohd Kaus sebagai Pengarah Institut Tabir Awam Negara (Intan).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Borhan Dolah berkata, keputusan itu berkuatkuasa serta-merta semalam selepas Mohammad Iskandar dilantik untuk jawatan itu pada 1 Julai lalu.

“Kita (JPA) sahkan kita tarik balik lantikan beliau (Mohammad Iskandar) dan beliau kembali ke tempat asal,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-18 Tahun 2019 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Intan tengahari tadi.

Dalam perkembangan sama ditanya sebab di sebalik pembatalan pelantikan Mohammad Iskandar, Borhan berkata, pihaknya mengambil kira semua perkara yang dibangkitkan.

“Kita mahu berkhidmat untuk kerajaan memerintah dan mengambil kira pandangan-pandangan tersebut, kita tarik balik pelantikan itu,” ujarnya.

Ditanya mengenai pelantikan baharu, Borhan menegaskan pelantikan pengarah baharu Intan akan dilaksanakan pada bila bila masa sahaja.

“Ia (pelantikan pengarah) boleh dilaksanakan menjelang minggu depan.

“Ya..kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa khas JPA mungkin minggu depan dan calon-calon( pengarah INTAN) sebelum ini sudah ada.. jadi calon seterusnya akan ditentukan (untuk pelantikan).

“Pelantikan itu boleh dibuat selepas itu (mesyuarat jawatankuasa) maknanya selepas menentukannya (calon pengarah),” tegasnya lagi.

Unit Pejabat Komunikasi Korporat JPA pula mengesahkan Mohammad Iskandar diarahkan kembali sebagai ‘instructor’ atau pegawai biasa di institut berkenaan.- MalaysiaGazette