Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – Kerajaan negeri menolak cadangan inkues kematian 15 Orang Asli suku Batek di perkampungan Orang Asli di Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian berkenaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak ada keperluan untuk melakukan inkues berkenaan memandangkan jabatan berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca kematian terbabit.

Malah katanya, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri telah meninjau keadaan di Gua Musang dan mengeluarkan kenyataan kes yang berlaku bukan disebabkan perlombongan atau pencemaran.

“Jika masih ada pihak mahu melakukan inkues, seolah-olah ianya tidak percaya dan mempersoalkan kredibiliti TPM dan agensi berkaitan dengan laporan dan kenyataan rasmi yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-Fursan, Pengkalan Chepa di sini hari ini. Hadir sama, Presiden Kehormat Rohm-Wako Japan Datuk Yosuke Yoshioka

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia mempertimbangkan cadangan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) di Dewan Rakyat semalam bagi mengadakan inkues kematian di perkampungan Orang Asli di Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian penduduk di sana.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri melihat ianya tiada keperluan bagi mengadakan inkues berkenaan memandangkan punca kematian sudah jelas dinyatakan.

Katanya, mungkin ada agenda pihak lain di sebalik cadangan untuk melakukan inkues ini.

“Saya lihat ada satu pihak yang tidak berpuas hati apabila laporan dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan itu positif kepada kerajaan negeri, jadi mereka seolah-olah mahu kerajaan negeri dipersalahkan, jadi sebab itu mungkin lahirnya cadangan untuk inkues ini.

“Malah, sehingga ke hari ini masih ada pihak yang turun ke kawasan berkenaan bagi mencuba mencari sampel air dan sebagainya seolah-olah mahu kaitkan isu di Kuala Koh dengan perlombongan di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, apa yang lagi penting untuk diberikan perhatian oleh semua pihak adalah isu di Pasir Gudang dan bukan di Kelantan.

“Isu di Pasir Gudang adalah lebih serius dan ianya telah berlaku dua kali dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Terdahulu, pembinaan Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-Fursan adalah sumbangan peribadi Presiden Kehormat Rohm-Wako Japan Datuk Yosuke Yoshioka sebagai tanda persahabatan berpanjangan antara Kelantan dan Kasaoka, Jepun sejak 20 tahun lepas. – Bernama