KUALA LUMPUR – Lebih kurang 17 tahun bersama May, akhirnya vokalisnya Mus mengumumkan tidak lagi bersama kumpulan itu.

Mus atau Mustaffa Din sudah tidak lagi menjadi anggota kumpulan itu sejak awal tahun ini, namun memilih untuk mengunci mulut dan hanya bersedia membuat pengumuman baru-baru ini.

Keputusan tersebut jelasnya dibuat selepas mempertimbangkan tawaran menyanyi yang sering diterimanya secara solo.

“Biarpun baru memaklumkan mengenai pengunduran saya, sudah ada yang tahu saya tidak lagi bersama May. Pendirian itu dibuat sejak awal tahun ini dan mereka menghormati keputusan saya.

“Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran menyanyi secara solo. Tidak adil jika saya terus membawa nama May, sedangkan tawaran persembahan secara berkumpulan semakin berkurangan.

“Daripada timbul pelbagai cerita yang tidak sedap didengar, lebih baik saya tarik diri. Lagipun, keadaan kesihatan saya kurang baik, membuatkan saya terpaksa menukar gaya hidup,” katanya.

Meskipun keluar daripada kumpulan tanpa sebarang masalah, beliau tidak lagi mahu dikaitkan dengan May pada masa akan datang.

“Lumrah dalam sebuah kumpulan, setiap orang ada ‘kepala’ sendiri, namun semuanya dapat diatasi dengan baik. Banyak yang kami lalui bersama sejak 1986,” katanya.

Mus menyertai May pada 1986, namun meninggalkan kumpulan itu selepas lima tahun untuk bersama Strangers.

Selepas menyertai Wings pada 2000, Mus kemudian pada 2002 kembali kepada kumpulan yang pernah terkenal dengan lagu Hakikat Perjuangan itu.-MalaysiaGazette