Gambar hiasan

MELAKA – Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) membabitkan syarikat penerbangan AirAsia, bagi laluan Pulau Pinang-Melaka dijangka pulih esok.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata operasi peralatan yang rosak telah berjaya dipulihkan, dan berjalan lancar dengan menggunakan generator sementara.

“Prosedur penerbangan juga telah diluluskan dan Air Asia dan dijangka menyambung semula penerbangan ke Melaka mulai esok.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pihak subkontraktor, yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Sofi berkata beliau berharap masalah-masalah sebegini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

“Prosedur dan amalan penyelenggaraan mesti disemak semula serta penambahbaikan mesti dilakukan,” katanya.

Bernama semalam melaporkan operasi penerbangan laluan AirAsia Pulau Pinang-Melaka di LTAM terpaksa diberhentikan sementara, disebabkan masalah teknikal pada alat pandu arah navigasi.

— BERNAMA