Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang telah diarahkan untuk menyediakan laporan mengenai kematian seorang murid yang terjatuh dari lantai berlubang sebuah bas semalam.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan keselamatan murid dan hal berkaitan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

“Mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa kesalahan berkaitan akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, seorang murid darjah enam dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dilaporkan meninggal dunia serta merta apabila terjerlus jatuh dari lantai tangga bas yang dinaikinya di Kampung Kandis di Pasir Puteh.

Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dipercayai berdiri bersama-sama rakan di dalam bas di sebelah hadapan berhampiran tangga kemudian terjatuh di jalan raya selepas lantainya jerlus pada kejadian 12.50 tengah hari ketika dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu.

Menurut Maszlee, berdasarkan maklumat awal, murid berkenaan telah terjatuh dari lubang hadapan bas dan kes ini masih dalam siasatan polis.

“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) telah mengarahkan beberapa tindakan awal diambil termasuk mengarahkan pihak sekolah membantu pengurusan jenazah dan menyalurkan sumbangan awal berjumlah RM1,000 kepada keluarga arwah.” ujarnya.

Berikutan insiden itu, Maszlee mengingatkan PPD untuk memastikan program-program yang melibatkan pergerakan murid sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette