KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedang menyiasat satu aktiviti dipercayai pemerdagangan manusia menggunakan kaedah agensi pelancongan.
Sindiket itu dikatakan bergiat aktif dengan menyasarkan mangsa-mangsanya di negara ini.
Timbalan Pengarah Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Radin Sharifuddin Mohd Yassin berkata, pada masa ini pihaknya sedang mengikuti secara dekat aktiviti sindiket terbabit selepas mendapat maklumat daripada individu yang mengenali salah seorang daripada mereka yang mungkin menjadi mangsa.
Katanya, pemantauan bersama pihak polis turut dilakukan dan sindiket itu pada masa ini mensasarkan 12 hingga 15 individu berusia bawah 40 tahun untuk dijadikan mangsa bagi dihantar ke beberapa tempat di China.
“Kalau nak diikutkan mereka akan berlepas ke China pukul 6 petang esok. Kami mendapat maklumat sudah ada tiga tiket penerbangan yang ditempah.
“Tetapi selepas kami menasihati, mereka semua telah sedar dan mungkin tidak akan berbuat demikian.
“Bagaimanapun, kita sedang memantau dan kami akan turun ke KLIA esok untuk memastikan 12 individu ini tidak terpengaruh untuk pergi ke sana,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika ditemui pada Sesi Sembang Kopi 0, Nasi Lemak di kediaman Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan hari ini.
Mengulas lanjut, Radin Sharifuddin berkata, pihaknya juga curiga dengan sindiket terbabit selepas dimaklumkan mereka meminta agar kesemua individu yang dikatakan mahu menyertai satu lawatan ke negara empat musim itu supaya membuka akaun bank sebelum memberikannya kepada sindiket berkenaan.
Katanya, perkara itu tidak logik kerana belum pernah berlaku orang yang hendak ke luar negara perlu membuka akaun bank baharu.
“Bagi orang yang nak pergi keluar negara buat apa nak buka akaun bank. Nampak sangat ada benda yang tak kena sedang berlaku.
“Mereka juga ada kata penganjur (sindiket) akan memberikan wang berjumlah RM800 kepada enam orang yang membuka akaun sebagaimana dipinta,” ujarnya.
Radin Sharifuddin percaya pasport kesemua bakal peserta berkenaan yang ada pada sindiket terbabit telah dibuang dan yakin ada anggota daripada agensi kerajaan terlibat dengannya.
“Kes seperti ini pernah berlaku tahun lepas dan tahun ini ia berulang lagi. Cuma jumlah amaun yang hendak dikaitkan agak berbeza dalam kes terbaru ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau mengingatkan kepada orang ramai agar tidak sesekali dengan mudah terpedaya dengan agensi-agensi yang kononnya menawarkan perkara-perkara menarik tanpa diselidiki kebenarannya terlebih dahulu.
Katanya, pengguna perlu bijak dalam mengesan sesuatu perkara yang dilihat pelik dan perlu merujuknya kepada pihak berkuasa agar tidak menjadi mangsa.
“Mereka boleh merujuk kepada kami dan siasatan terhadapnya akan dilakukan bersama dengan pihak berkuasa.
“PPIM sedia membantu dalam segala hal dan orang ramai boleh tampil mengadukan sebarang masalah kepada kami sekiranya menghadapi sebarang kemusykilan terutamanya dalam isu-isu kepenggunaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette