N. Surendran
N. Surendran

PETALING JAYA – Lawyer for Liberty hari ini mempersoalkan tindakan Peguam Negara Singapura yang enggan mengeluarkan sijil bantuan substantif kepada rakyat Malaysia, P. Pannir Selvam yang berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah.

Penasihatnya, N.Surendran kesal dengan sikap pejabat Peguam Negara Singapura itu sedangkan keluarga Pannir telah menyalurkan maklumat tentang aktiviti pengedaran dadah kepada Biro Narkotik Pusat Singapura.

“Di bawah undang-undang Singapura, Peguam Negara boleh beri Sijil Bantuan Substantif kepada orang yang disabitkan atas kesalahan berkaitan dengan dadah jika membantu pihak berkuasa.

“Sekiranya itu dilakukan, maka mahkamah boleh menggantikan hukuman hukuman gantung dengan hukuman penjara seumur hidup.

“Pannir dan keluarganya telah memberikan maklumat kepada pihak berkuasa Singapura. Kami agak terkejut mengapa pejabat Peguam Negara Singapura tidak mahu mengeluarkan sijil itu.

“Sebab itulah kami mencabar kegagalan peguam negara mereka untuk mengeluarkan sijil kematian. Kami dapati proses ini tidak adil kerana pejabat Peguam Negara yang memegang kuasa hidup dan mati untuk Pannir,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

MGF05072019_PC HUKUMAN GANTUNG07
Penasihat Lawyer for Liberty, N. Surendran bersama ahli keluarga mangsa bergambar sambil menunjukkan petisyen solidariti terhadap abangnya yang dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Singapura pada sidang media di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2019.

Hadir sama adik-beradik Pannir iaitu Isac Prathaman, Joshra Prathaman dan Angelia Prathaman.

Pannir didapati bersalah pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84 gram diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Bagaimanapun pada 23 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Singapura membuat keputusan membenarkan permohonan Pannir untuk menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.

Pannir, 32, yang diwakili oleh peguam Too Xing Ji dan Lee Ji En dari BMS Law, dijadual menjalani hukuman mati pada 24 Mei lalu.

Dia mengemukakan permohonan itu sementara menunggu satu pencabaran ke atas penolakan pengampunan.

Surat daripada Presiden Singapura yang menolak pengampunan itu dan pemakluman hukuman itu kedua-duanya bertarikh 17 Mei lalu tetapi surat yang memaklumkan kepada ahli keluarganya mengenai hukuman mati itu dihantar pada 16 Mei lalu.

MGF05072019_PC HUKUMAN GANTUNG04
Adik mangsa, P. Angeli bercakap pada sidang media berkaitan Mahkamah Singapura yang menjatuhkan hukuman gantung terhadap abangnya, P. Pannir Selvam di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2019.

Sementara itu, Angelia merayu orang ramai agar membantu keluarga mereka untuk menyelamatkan abang kandungnya daripada hukuman mati dengan menandatanagi petisyen dalam talian yang diwujudkan, baru-baru ini.

“Kami tak sanggup kehilangan Pannir, saya merayu orang ramai agar menyokong usaha kami untuk menyelamatkan nyawa Pannir yang menjadi mangsa keldai dadah.

“orang ramai boleh mengambil bahagian dalam petisyen itu di www.savepannir.info,” katanya lagi. – MalaysiaGazette