Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka kembali mengukuh minggu depan dengan indeks utama melepasi tahap psikologi 1,700 mata di tengah-tengah kedudukan pasaran yang positif, selepas tempoh aliran penurunan yang dilihat sejak beberapa hari kebelakangan ini akibat aktiviti pengambilan untung.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata, pasaran akan disokong oleh sentimen pelabur asing yang kini semakin yakin terhadap pasaran saham tempatan, terutama selepas perdamaian sementara perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Kami menyaksikan belian semula bersih asing dengan lebih konsisten sejak beberapa minggu ini, yang dapat menstabilkan pasaran saham tempatan,” katanya kepada Bernama.

Pong berkata belian bersih asing dalam ekuiti tempatan berjumlah RM534 juta dari 31 Mei 2019 hingga Rabu lepas, yang jauh berbeza dengan jualan bersih asing bernilai kira-kira RM19.8 bilion dari 2 Mei 2018 hingga Khamis lepas.

“Ini perubahan yang sangat ketara dalam kalangan pelabur asing sejak 31 Mei 2019,” katanya.

Berdasarkan laporan mingguan Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research), pengurus dana luar negara membeli saham bersih berjumlah RM134.6 juta di Bursa Malaysia pada Jun, aliran masuk bulanan pertama dalam tempoh lima bulan.

Naib Presiden Kanan Phillip Capital Management Naib Presiden (Pelaburan) Phillip Capital Management Asia Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan juga menjangkakan momentum baharu untuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) minggu depan ke arah rintangan psikologi 1,700, sebagai tindak balas kepada rundingan semula perdagangan antara AS dan China.

“Oleh itu, unjuran peningkatan kami semakin kukuh, dengan paras sokongan dan rintangan semasa kini masing-masing berada pada paras 1,660 dan 1,700,” katanya sambil menambah saham pengguna dan pembinaan akan menjadi tumpuan dalam dagangan minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan lebih tinggi dalam dua hari pertama namun merosot selepas itu, ekoran aktiviti pengambilan untung ketika pasaran dalam kedudukan terlebih beli.

Indeks penanda aras ditutup pada paras tertinggi dala tempoh hampir empat bulan pada Selasa kepada 1,691.0.

Pada asas Jumaat-Jumaat, FBM KLCI meningkat 10.40 mata kepada 1,682.53 daripada 1,672.13 Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas menambah 123.71 mata kepada 11905.29, Indeks FBMT 100 menokok 109.77 mata kepada 11,741.42 manakala FBM Emas Shariah meningkat 141.41 mata kepada 12,274.35.

Indeks FBM Ace melonjak 214.96 mata kepada 4,660.41 dan FBM 70 meambah 290.26 mata kepada 14,889.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 112.0 mata kepada 16.798.61, Indeks Perladangan naik 8.23 mata kepada 6,977.13 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.80 mata kepada 162.52.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 14.56 bilion unit bernilai RM10.22 bilion daripada 9.47 bilion unit bernilai RM8.73 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 10.53 bilion saham bernilai RM9.30 bilion berbanding 6.05 bilion unit bernilai RM7.93 bilion.

Jumlah dagangan waran, bagaimanapun merosot kepada 1.87 bilion unit bernilai RM380.07 juta berbanding 1.95 bilion unit bernilai RM442.2 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.14 bilion saham bernilai RM533.77 juta berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM332.69 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette