Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Aidilfitri bersama Mantan AMK di Restoran Terapung D’Saji, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 06 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan beliau sebagai bakal perdana menteri kelapan dan pengganti mutlak kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berubah.

Oleh yang demikian, ruang harus diberi kepada Dr Mahathir bagi memimpin Putrajaya pada masa ini.

“Beri ruang kepada Dr Mahathir sementara dia jadi perdana menteri.

“Tak payah ikut teori, janji dalam Pakatan Harapan (tetap sama), tidak ada sikit pun berubah. Sekarang Dr Mahathir, lepas ini Anwar,” katanya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Mantan Angkatan Muda Keadilan (AMK), sebentar tadi.

Untuk rekod, perjanjian di antara Dr Mahathir dan Anwar untuk peralihan kuasa antara kedua-dua mereka dipercayai akan berlaku pada Mei tahun depan.

Sebelum ini, Dr Mahathir memaklumkan, beliau hanya akan memegang jawatan perdana menteri selama dua tahun sebagaimana yang dimuktamadkan selepas Pakatan Harapan (PH) merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional pada Mei tahun lalu.

Malah Pengerusi PH itu masih mengulangi janji menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar seperti dipersetujui pimpinan PH.

Cuma, beliau masih memerlukan masa untuk ‘mengemas kini’ pentadbiran dan mengukuhkan ekonomi negara di landasan sewajarnya sebelum menyempurnakan peralihan jawatan kepada Ketua Umum PH dan Presiden PKR itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.