Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Seramai 1,138 orang direkod secara kumulatif terjejas akibat kejadian sesak nafas di Pasir Gudang setakat 5 petang 5 Julai 2019 dan sedang dirawat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, mengikut pecahan angka itu, seramai 1,093 orang dirawat sebagai pesakit luar dan 45 orang dimasukkan dalam wad.

Bagaimanapun katanya, setakat 5 petang semalam (5 Julai) tidak ada kes baharu dilaporkan.

“Namun satu kes discaj ( dibenarkan pulang) dari wad, dengan ini tiada kes berada dalam wad.

“Bagi kesemua kes yang dimasukkan ke dalam wad, tiada kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Justeru katanya, pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap kesemua mangsa.

Menurutnya secara kumulatif, sehingga 5 Julai 2019 jam 5.00 petang, sejumlah 723 orang awam (termasuk kanak-kanak) telah menerima khidmat bantuan awal psikososial (Psychosocial First Aid – PFA).

Secara keseluruhan jelasnya, pelajar-pelajar didapati menunjukkan gejala susah bernafas dan rasa loya.

“Mereka merasa takut dan risau akan mengalami perkara yang sama seperti yang pernah dialami dahulu memandangkan gejala yang dialami oleh pelajar-pelajar ini dianggap reaksi normal oleh mereka yang telah melalui pengalaman trauma.

“Tetapi mereka dapat ditenangkan dengan baik oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Sejumlah 470 pelajar telah diberi intervensi psikososial dan daripada jumlah ini, seramai 231 dikesan mengalami gejala keresahan (anxiety),” ujarnya.

Daripada jumlah tersebut pula,tegasnya hanya 22 orang pelajar daripada 11 buah sekolah dirujuk kepada pakar (pakar perubatan keluarga atau pakar psikiatri) bagi rawatan lanjut.

“Selebihnya diberikan intervensi kaunseling dan berdasarkan sejarah pendedahan, gejala, taburan sekolah dan penilaian psikososial, tiada kejadian mass psychogenic hysteria dikesan,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu Dzulkefly berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan manakala orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“KKM bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.