GEORGETOWN – Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas nyaris maut selepas kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk melanggar sebuah kereta lain sebelum terbabas semasa sekatan jalan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi, anggota polis berusia 43 tahun sedang bertugas di sekatan jalan raya itu bagaimanapun beliau terselamat kerana sempat menyelamatkan diri.

Anggota polis yang bertugas di Balai Polis Jalan Patani itu, semasa kejadian sedang membuat pemeriksaan di tengah lebuh raya berkenaan sebelum kereta Proton Perdana dipandu lelaki berusia 27 tahun yang datang dari arah Georgetown menghala Bayan Baru dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, kereta dipandu jurutera itu melanggar belakang sebuah kereta jenis Mercedes Benz dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun sebelum kenderaan jenis Proton Perdana tersebut terbabas sehingga hampir merempuh sekatan jalan raya berkenaan.

“Kereta Proton Perdana itu terbabas ke tengah jalan dan merempuh penghadang jalan yang terdapat di situ namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu dalam keadaan mabuk,”katanya di sini hari ini.

Che Zaimani berkata, ujian awal mendapati kandungan alkohol dalam spesimen nafas lelaki itu adalah 195 miligram(mg) alkohol dalam 100 ml darah berbanding yang dibenarkan iaitu 80 mg/100ml dan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis telah merekodkan keterangan lelaki yang memandu Mercedes Benz itu dan lelaki yang memandu Proton Perdana berkenaan akan didakwa di Mahkamah Khas Trafik di sini pada Khamis ini menurut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kereta di bawah pengaruh alkohol yang memperuntukkan denda maksimum RM6,000 serta boleh juga dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan,”katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, seorang lelaki warga Kemboja, Muhammad Tasnim Kassim,22, maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Viva dipandunya melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Beliau berkata, manakala tiga penumpang kereta itu iaitu seorang wanita berusia 45 tahun, remaja lelaki berusia 13 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengalami cedera ringan.

“Kemalangan itu berlaku ketika kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Masjid Negeri menghala ke Jambatan Pulau Pinang sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok,”katanya. – MalaysiaGazette