Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin berucap pada Majlis Pelancaran Universiti Malaya Endowment Fund (UMEF) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin Universiti Malaya (UM) mampu mengumpul dana sehingga RM228 juta setahun jika setiap daripada lebih 190,000 alumninya menyumbang RM10 sebulan.

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, usaha menjana pendapatan itu menerusi Universiti Malaya Endowment Fund (UMEF) perlu dipergiatkan segera.

“Saya yakin dengan alumni UM yang kini mencecah lebih daripada 190,000, sekiranya setiap alumni memberi derma RM10 sebulan, dana yang dapat dikumpul boleh mencecah RM19 juta dan bayangkan untuk setahun mampu kumpul sebanyak RM228 juta.

“Mungkin pengiraan ini nampak terlalu mudah seperti angan-angan tapi bak kata pepatah Melayu, manakan dapat sagunya jika tidak dipecahkan ruyung dan berdikit-dikit lama lama jadi bukit,” katanya dalam teks ucapan khas beliau.

Teks beliau dibacakan oleh wakilnya Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd Amin yang hadir melancarkan UMEF di Dewan Tunku Canselor, UM Lembah Pantai malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim, Penaung Persatuan Alumni UM, (PAUM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden PAUM, Datuk Noordin Abd Razak.

Dalam ucapan sama, Maszlee berkongsi pencapaian Universiti Havard, Amerika Syarikat, yang mana mempunyai dasar menjadikan pelajar dan keluarga mereka mampu melanjutkan pendidikan di universiti terkemuka sejak lebih separuh abad lalu.

Katanya, Tabung Endowmen Havard mempunyai dana sebanyak AS$32 bilion yang disumbangkan sebahagian besarnya daripada alumni mereka.

Pada tahun 2011, Harvard mengumumkan pulangan pelaburan endowment sebanyak 21.4 peratus dan agihan dana menyumbang hampir 30 peratus daripada belanjawan operasinya.

Tabung itu menyokong kelancaran program akademik, penyelidikan sains dan perubatan serta program bantuan kewangan pelajar tanpa mengira pendapatan mereka dan hampir 60 peratus pelajar prasiswazah menerima biasiswa berjumlah AS$160 juta atau RM640 juta pada tahun 2011.

“Pencapaian Harvard suatu agak mustahil dan boleh dikatakan di luar jangkauan kita kerana budaya filantropik di sana wujud lebih separuh abad.

“Namun, ia tak bermakna kita tidak boleh mencontohi Harvard untuk menjadi yang terbaik mengikut upaya kita.

“Maksud saya bukan angka AS$32 bilion itu yang kita perlu kejar, tetapi lebih penting bagaimana kita dapat menyemarakkan lagi budaya filantropik atau memberi derma dalam kalangan alumni dan warga Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam konteks berkenaan, Maszlee juga memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) teleh memperolehi penjanaan endowmen keseluruhan berjumlah RM87 juta membabitkan Tabung Endowmen sendiri yang ditubuhkan pada 2009 hingga kini.

Begitu juga dengan 13 Universiti Awam lain yang melaksanakan kutipan dan pembangunan wakaf di institusi masing masing iaitu UPM, UKM, UUSM UiTM, UPSI, UMP, UniZA, UTHM, USIM, UMT. UNIMAP dan UTEM berjaya menghasilkan kutipan mencecah lebih RM25.7 juta meskipun aktiviti wakaf UA hanya diperkenalkan pada 2016.

“Walaupun pencapaian tabung endowmen UA masih rendah berikutan kurangnya kesedaran budaya memberi, selain ekosistem yang kurang kondusif dan isu insentif cukai, namun saya amat yakin endowmen dan wakaf mempunyai potensi besar di negara ini.

“Bagi tujuan itu, UA di negara ini perlu meneguhkan hubungan alumni dengan alma mater.

“Namun cabaran utama melonjakkan peranan dan sumbangan para alumni adalah bagaimana untuk mencari dan mengumpulkan mereka agar terus kekal dekat bersama alma mater mereka.

“Disinilah perlunya komitmen, kesungguhan dan kreativiti kita untuk terus mencari dan menjejaki kembali para alumni melalui pelbagai aktiviti, kaedah dan promosi,

“Sudah tentu media sosial yang interaktif wajar menjadi wahana ampuh universiti untuk berkomunikasi dan menghubungkan alumni walau dimana jua mereka berada.

“Maka saya minta UA ambil serius mengenai Pusat Alumni Universiti dengan inisiatif memperkasa pusat alumni masing masing dengan peruntukan staf mencukupi dan berpengalaman untuk mengurus hubungan dan pembangunan alumni secara profesional, cekap dan berkesan,” katanya.- MalaysiaGazette