Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia akan memudahkan kerjasama yang lebih erat antara pasaran modal Malaysia dan China untuk saling memberi manfaat kepada kedua-dua negara, susulan lawatannya pada 4 Julai ke Bursa Saham Shenzhen (SZSE).

Dalam lawatan itu, delegasi disambut pegawai kanan dan Pengerusi bursa saham itu Wu Lijun, yang menekankan kejayaan SZSE dalam membiayai syarikat China dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang inovatif, termasuk mereka dalam sektor teknologi dan pembuatan maju.

Pada masa sama, terdapat beberapa syarikat yang disenaraikan di SZSE beroperasi di Malaysia di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, mewujudkan sinergi dan peluang kepada kerjasama antara pasaran modal kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia diketuai Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Bersama dengan Bursa Malaysia, SC mempunyai banyak libat urus dengan SZSE dalam beberapa bulan ini untuk membincangkan berhubung inisiatif kepada jaringan rentas sempadan yang lebih baik, pertukaran kepakaran teknikal dan pembangunan modal insan.

“Kami mahu meningkatkan hubungan antara Malaysia dan China melalui kerjasama ini. Susulan lawatan kerja ini, SZSE, SC dan Bursa Malaysia akan mengadakan perbincangan lanjut untuk menentukan cadangan nilai kerjasama itu, dan berusaha ke arah melaksanakan inisiatif ini,” kata Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar dalam satu kenyataan.

SZSE ditubuhkan pada 1 Disember 1990 sebagai entiti undang-undang yang dikawal selia sendiri di bawah pengawasan Suruhanjaya Pengawalseliaan Sekuriti China.

Ia adalah antara dua bursa saham utama di tanah besar China, dengan permodalan pasaran sebanyak AS$3 trilion sehingga Mei 2019. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.