Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Setakat semalam, tiada kes kematian baharu dilaporkan bagi penularan wabak campak dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang Kelantan, Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu; dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

Malah, kes kematian masih kekal tiga orang yang mana kesemuanya disahkan mengalami campak melalui ujian makmal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.Dzulkefly Ahmad berkata, wabak campak sejak kejadian pada 3 Jun hingga 5 Julai 2019 merekodkan sebanyak 173 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 147 kes termasuk tiga kematian berlaku di Kelantan, Terengganu, 18 kes tetapi tidak merekodkan kematian dan Pahang mencatatkan lapan kes wabak campak tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Daripada jumlah tersebut, 82 kes telah disahkan measles (campak) melalui ujian makmal, iaitu 62 kes di Kelantan,16 kes di Terengganu dan 4 kes di Pahang.

Menerusi kenyataan hari ini, menteri kesihatan itu berkata, hasil bedah siasat oleh pasukan forensik juga mengesahkan kematian berpunca dari jangkitan dan komplikasi campak.

Dalam pada itu katanya, keputusan dari bedah siasat terhadap 12 lagi mayat lagi yang ditemui oleh pihak polis (tarikh kematian dari 2 Mei – 6 Jun 2019) telah dijalankan pada 17 dan 18 Jun lalu oleh pasukan forensik dan punca kematian masih tidak dapat disahkan.

“Namun begitu, keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi,” ujarnya lagi.

Setakat semalam (5 Julai 2019), di Kelantan sahaja seramai 48 kes masih dirawat iaitu 46 di wad isolasi manakala dua dua kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kesemua yang dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil dan 53 kes yang bergejala ringan di tempatkan di PLKN Etnobotani, Gua Musang.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata, semalam di Terengganu, sebanyak lima kes masih dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu, kesemuanya dilaporkan stabil manakala di Pahang pula, tiada kes dirawat di hospital.

Sebagai respon kepada wabak campak ini, Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat meneruskan aktiviti imunisasi termasuk aktiviti imunisasi tambahan kepada komuniti di kawasan-kawasan yang terlibat dan lokasi berhampiran dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tok Batin komuniti berkaitan.

Menurutnya, aktiviti imunisasi tambahan dijalankan serentak sejak sejak 1 Julai lalu dan menyatakan wabak berkenaan terkawal.

“Sebagai maklumat tambahan dua kes yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Krai sejak 26 Jun iaitu bayi perempuan berusia tiga bulan sedang dirawat sebagai campak pneumonia.

“Keadaan bayi itu bertambah baik dan berat badan juga telah bertambah dari 1.8 kg ke 2.4 kg dan dipantau dalam NICU.

“Manakala kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dirawat sebagai gejala campak yang teruk tetapi dia dilaporkan stabil.

Mangsa juga menjalani rawatan haemodialisis kerana turut mengalami kecederaan akut buah pinggang akibat komplikasi jangkitan dan sedang dirawat di ICU,” tegasnya. – MalaysiGazette