Najib Razak

KUALA LUMPUR – Data kadar pertumbuhan eksport pada tahun ini adalah amat rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya walaupun Kerajaan Pakatan Harapan mendakwa eksport negara tumbuh 2.5 peratus untuk bulan Mei 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun kadar Mei ini naik berbanding kadar 1.1% untuk bulan April 2019, ini masih di bawah unjuran penganalisis ekonomi.

Prestasi eksport negara pada bulan Januari tahun ini adalah 3.1 peratus, Februari (-5.3%) , Mac (-0.5%), April (+1.1%) dan Mei (+2.5%).

Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata, kadar pertumbuhan eksport untuk tahun ini adalah sangat rendah berbanding peningkatan 18.9 peratus pada tahun 2017 dan 6.8 peratus pada tahun lalu.

“Tapi purata kadar pertumbuhan eksport setakat 5 bulan pertama ini masih di bawah unjuran 3.4% BNM. Oleh itu, beberapa penganalisis ekonomi telah menurunkan unjuran tahun ini kepada 2.2% sahaja,” ujarnya sambil berkata indikasi itu bermaksud ekonomi Malaysia dijangka terus lembab untuk tahun ini.

Secara sinis Najib berkata, ekonomi lembap tatkala hutang mencecah RM800 bilion dan aset-aset negara terus dijual itu adalah perkara kecil.

“Sekurang-kurangnya kita ada drama video untuk menghiburkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette