KUALA LUMPUR – Malang menimpa lagi bekas vokalis Putera Band, Muhamad Haziq Hasbullah, 20, apabila dia terlibat dengan kemalangan motosikal kelmarin dan kini sedang dirawat di hospital.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur apabila Haziq yang membonceng motosikal bersama rakannya dilanggar kereta yang dipandu laju dari belakang ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil.

Pada tahun lalu, Haziq pernah terlibat dengan kemalangan motosikal berdekatan kawasan kediamannya sehingga mengakibatkan tulang rusuknya patah.

Ibu Haziq yang juga merupakan anggota kumpulan dangdut Eva, Linda atau Norhaslinda Ishak, memaklumkan tentang berita tersebut di laman Instagram miliknya.

“Saya bersyukur nyawa anak saya panjang. Kemalangan yang tak diduga, bahaya ada di mana-mana. Lepas ni kena hati-hati. Kalau bukan kerana kecuaian kita, kecuaian orang lain boleh mengakibatkan kita hilang nyawa.

“Saya berterima kasih pada fans dan kawan-kawan saya, juga pada keluarga yang mendoakan @itsme_hzqq.

“Alhamdullah setakat ni perkembangan Haziq OK selepas pembedahan kaki yang kedua semalam. Kaki kanan cedera parah, otot koyak urat putus, tapi doktor-doktor pakar yang bertauliah dah cuba yang terbaik untuk Haziq,” tulisnya pada sekeping gambar Haziq yang sedang dirawat.

Dalam perkongsian yang sama, Linda juga meluahkan rasa syukurnya kerana Haziq selamat biarpun berlaku perdarahan yang banyak di tempat kejadian.

“Syukur alhamdullah nyaris hilang nyawa akibat perdarahan yang terlalu banyak di tempat kejadian. Apa pun bersyukur pada ALLAH kau makbulkan doa kami smua.

“Mama harap Haziq tau yang semua orang sayang Haziq. Mama tak ready hilang anak walau seorang pun. Itu mama selalu pantau dan jaga anak-anak mama. Sebab itu mama selalu bising, sebab itu mama selalu marah-marah, sebab apa? Sebab mama tak nak perkara-perkara sebegini terjadi.

“Harap anak mama faham apa yang mama buat pada korang semua. Tak lain tak bukan mama terlalu berhati-hati dan menjaga keselamatan korang semua. Mama tak ada harta lain, mama ada korang saja wahai anak. Fahamilah tiap pengorbanan mama ni hanya untuk kamu semua,” luah Linda. – MalaysiaGazette