Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (kiri) dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) melawat gerai makanan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL) Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Hampir sebulan penyebaran video lucah melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali namun tiada apa-apa perkembangan terkini mengenainya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes berkenaan masih peringkat siasatan dan segala perkembangan akan dikemukakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador.

“Masih dalam siasatan PDRM, belum lagi dapat apa-apa keputusan. Kita tidak tetapkan suatu tempoh tertentu dan polis telah tubuhkan jawatankuasa penyiasat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersalam warga PDRM di Pusat Latihan PolisĀ  hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata siasatan polis berhubung kewujudan dan penularan beberapa siri klip video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dibuat, sekali gus melalui satu kertas siasatan yang dibuka sebelum ini.

Ia termasuk klip video keempat yang mula ditularkan melalui medium media sosial.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, segala perkembangan terkini yang dibuat polis akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Mereka buat apa yang patut dan akan dikemukakan kepada Ketua Polis Negara dan saya sendiri sebelum dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa siri video seks membabitkan dua lelaki tular di media sosial diikuti pengakuan oleh Haziq yang mengaku sebagai seorang daripada lelaki dalam video berkenaan.

Haziq yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong mendakwa orang yang bersamanya dalam video berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -MalaysiaGazette