ROMPIN – Kerajaan merancang tanah-tanah peneroka Felda dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan efisien dengan cara yang lebih profesional, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pengurusan sedemikian diamalkan estet ladang besar milik orang asing sejak zaman pentadbiran British, yang membolehkan pemilik ladang masih memperoleh keuntungan walaupun marginnya kecil ekoran kejatuhan harga komoditi dan tanaman yang diusahakan, selain tidak perlu bergantung kepada subsidi kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata usaha meyakinkan peneroka Felda untuk mewujudkan ladang besar itu pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran terutamanya di kalangan generasi pertama yang sudah berusia lebih 60 tahun.

“Mereka sudah menjadi peneroka sejak awal dan untuk menukar mindset mereka susah. Tapi mereka adalah pemilik tanah dan kalau kita boleh mendapat kawasan yang lebih luas untuk diuruskan oleh mereka yang profesional, kita yakin boleh mengeluarkan lebih banyak hasil.

“Pendapatan boleh dibahagikan mengikut luas kawasan tanah yang disumbangkan. Mereka (peneroka) boleh bekerja dengan pengurusan ladang atau mendapat keuntungan hasil mengikut tanah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar dan Ketua Peneroka Felda Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Dr Mahathir berpandangan rancangan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan dan untuk tujuan itu, Felda akan melaksanakannya di mana-mana kawasan tanah rancangan yang mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 404 hektar.

Pengurusan Felda juga, kata Perdana Menteri tidak boleh hanya bergantung kepada hanya tanaman kelapa sawit atau getah seperti diamalkan sekarang supaya pendapatan golongan peneroka tidak terjejas jika berlaku kejatuhan harga komoditi berkenaan.

“Kawasan yang dicantumkan besar kemungkinan menjadi 1,000 atau 2,000 ekar (bersamaan 404 atau 808 hektar) dan daripada jumlah itu, mungkin kita boleh ambil 80 hektar untuk tanam tanaman lain… seperti kita lihat di Pahang, tanahnya subur, tembikai serta nenas boleh ditanam di sini.

“Kita hendak elak daripada terlalu bergantung kepada tanaman tunggal dengan menaman tanaman yang mempunyai permintaan lebih besar dalam dan luar negara selain membantu rantaian bekalan negara,” katanya.- BERNAMA