Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL) Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, mengakui langkah untuk membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low untuk didakwa di Malaysia berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan semudah yang disangka.

Katanya, langkah berhati-hati itu penting supaya tidak tersilap langkah dalam mendakwa Jho Low.

“Dalam usaha pihak polis untuk, membawa balik Jho Low ke negara ini memerlukan usaha yang begitu bersama, terpaksa dilakukan dengan penuh berhati-hati cermat supaya kita tidak tersilap langkah,

“(Kita tidak mahu) pihak berkuasa di mana beliau (Jho Low) bersembunyi ini tidak berasa bahawa seolah-olah kita ini nak menekan,” katanya.

Hamid berkata demikan selepas mengiringi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hamid berkata, proses rundingan dengan pihak berkuasa negara dimana Jho Low bersembunyi giat diadakan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low.

“Perundingan sedang berjalan dan saya rasa pihak berkuasa dimana Jho Low bersembunyi itu faham keperluan Malaysia untuk membawa Jho Low balik untuk menghafapi proses undang-undang di negara kini ini,” katanya lagi.

Pada 30 Mei lalu, Hamid memberi gambaran pihaknya sudah bersedia untuk membawa pulang Jho Low bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Beliau berkata pihaknya yakin tindakan itu dapat dibuat dalam tempoh terdekat namun, tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut maklumat mengenainya. -MalaysiaGazette