Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (dua kiri) dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran buku MES PDRM ke 100 pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL) Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melantik dua ahli baharu pasukan petugas khas bagi menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Katanya, ia bagi menggantikan bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor yang telah menarik diri selasa lalu.

“Itu telah diumumkan dan beliau sendiri yang buat keputusan tentang reaksi pelbagai pihak dan telah dimaklumkan kepada pasukan petugas bahawa beliau tarik diri,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersalam warga PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai Mokhtar yang menarik diri daripada pasukan petugas khas.

Beliau sebelum ini dikritik apabila mengumumkan pelantikan Mokhtar, dengan sikap berkecualinya dipersoalkan oleh keluarga Koh.

Malah semasa pendengaran Suhakam berhubung kehilangan Koh dan Amri, Mokhtar menghadiri hanya satu sesi dan tidak terlibat secara langsung di dalamnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pasukan khas itu akan turut dianggotai anggota baharu yang akan diputuskan esok.

“Diperingkat kementerian kita akan menamakan pengganti yang saya fikir boleh tambah seorang lagi dan mungkin di kalangan bukan Melayu” katanya lagi.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan pasukan itu ditubuhkan dengan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Selain Mokhtar, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Selain itu, Pegawai Undang-Undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN, Mohd. Russaini Idrus.

Pastor Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng semasa memandu di Kelana Jaya Selangor pada 13 Februari 2017 manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016. -MalaysiaGazette