Lionel Messi dilayangkan kad merah pada perlawanan penentuan tempat ketiga Copa Amerika 2019.

LONDON – Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi mencetuskan kontroversia apabila dia enggan naik ke pentas bersama skuad Argentina yang lain untuk menerima medal tempat ketiga Copa America 2019.

Pada perlawanan menentang Chile pada awal pagi tadi, bintang Barcelona itu menghasilkan bantuan gol untuk jaringan Sergio Aguero pada minit ke-12 perlawanan.

Namun ketika kedudukan 2-0 berpihak kepada Argentina, insiden tolak menolak membabitkan pemain tengah Chile, Gary Medel dan Messi menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain pada minit ke-37 perlawanan.

Tindakan pengadil perlawanan, Mario Diaz de Vivar yang melayangkan kad merah kepada Messi membuatkan pemain-pemain Argentina yang lain menyerbu pengadil untuk mempersoalkan keputusan.

Mengulas keengganannya menerima medal, Messi berkata dia tidak mahu menjadi sebahagian daripada skandal rasuah pada kejohanan itu.

“Kami sepatutnya tidak menjadi sebahagian daripada penghinaan yang diterima sepanjang Copa America ini.

“Saya sentiasa memberitahu apa yang benar dan jujur. Saya berpendapat apa yang berlaku dalam perlawanan ini adalah kerana apa yang saya katakan mengenai Brazil (selepas perlawanan separuh akhir” ujarnya kepada ESPN Sport.

Sebelum ini Messi lantang mengkritik pengadil yang dikatakan berat sebelah kepada Brazil selepas Argentina tewas 2-0 di separuh akhir kepada pasukan tuan rumah.

“Tiada keraguan segala-galanya telah diatur untuk Brazil. Saya berharap VAR dan pengadil tidak memainkan peranan sama dan Peru dibenarkan bertanding secara adil. Tetapi ini kelihatan sukar,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan itu. – MalaysiaGazette