Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Majlis Makan Malam Kejohanan Debat Antara Sekolah 2019 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 07 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi rahsianya menjadi pendebat terbaik.

Menurutnya, ia kerana beliau memiliki minat amat mendalam dan berusaha bersungguh-sungguh.

Jelas Syed Saddiq, walaupun perlu membahagikan waktu belajar di Maktab Tentera Diraja ketika itu beliau berlatih debat selepas pukul 5 petang hingga lewat malam selama lima seminggu hari bagi mempertajamkan skil debatnya.

Selain perlu rajin mendapatkan fakta-fakta baharu di suratkhabar tempatan dan portal atas talian luar negara, beliau turut menekankan bahawa persediaan awal juga aspek terpenting menjadi pendebat terbaik.

”Melakukan kajian tentang sesuatu topik itu amat penting bagi pendebat. Debat juga bukan sekadar menjuarai pertandingan namun jadikan debat sebahagian daripada hidup dan perlu berlatih setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertandingan Debat antara Sekolah-Sekolah Malaysia 2019 (IDC 2019) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini malam ini.

Syed Saddiq yang merupakan alumni debat bahasa Inggeris UIAM pernah mendapat anugerah pendebat terbaik Asia semasa mewakili universiti itu dalam Kejohanan Debat Bersatu Asia (UADC).

Ahli Parlimen Muar itu juga pernah meraih anugerah Pendebat Terbaik (ESL) di kejohanan Australasia, Cambridge dan Oxford Inter-varsities pada 2012-2014.

Sementara itu, johan IDC 2019 bagi kategori Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan kategori Bahasa Inggeris akan ditentukan esok.

Semua juara akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 (bahasa Melayu dan Arab), RM2,000 (bahasa Inggeris) dan piala pusingan menjadi rebutan peserta pada tahun ini.

IDC 2019 yang sudah memasuki tahun ke-17 itu dianjurkan oleh UIAM bermula Jumaat lalu selama empat hari.

Penganjuran itu merupakan pertandingan debat paling berprestij kerana merupakan satu-satunya platform paling lama yang menghimpunkan pelbagai jenis sekolah di bawah satu bumbung.

Sekolah yang bertanding termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri, sekolah harian dan sekolah swasta.

Sebanyak 25 sekolah mengambil bahagian dalam kategori debat bahasa Melayu, 50 sekolah (bahasa Inggeris) dan 30 pasukan (bahasa Arab). MalaysiaGazette