HO CHI MINH CITY – Seramai 62 sukarelawan siswa dari pelbagai institusi pendidikan tinggi Malaysia kini berada di Vietnam untuk menyertai program Green Summer Volunteer Campaign 2019 yang dilancarkan hari ini.

Para peserta Malaysia yang merupakan anggota Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) akan menyertai 5,000 sukarelawan siswa daripada Ho Chi Minh City serta 50,000 sukarelawan lain dan penduduk kampung untuk menjayakan program selama sebulan tersebut.

Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye yang turut berada di Ho Chi Minh City berkata, para peserta YSS akan melaksanakan khidmat masyarakat di empat kampung dalam 24 daerah yang terpilih untuk program itu iaitu Tan Kien Commune (daerah Binh Chanh), Thai My Commune (daerah Cu Chi), Hiep Phuoc Commune (daerah Nha Be) dan Tan Thoi Hiep Ward (daerah 12).

Lam Thye yang turut melepaskan peserta Malaysia di Putrajaya pada 5 Julai lalu berkata, sukarelawan YSS daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran akan menyumbang tenaga dan kemahiran mereka untuk menjayakan projek dan aktiviti yang dirangka untuk membantu penduduk tempatan.

“Ia bersesuaian dengan konsep keterangkuman YSS serta penekanan terhadap kesesuaian setiap sukarelawan untuk melaksanakan tugas yang tepat berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mereka,” katanya selepas majlis perasmian Mua He Xanh 2019 oleh Timbalan Setiausaha Ho Chi Minh City dan Pengerusi Kesatuan Belia Ho Chi Minh City Ngu Minh Hai hari ini.

Leam Thye berkata, para sukarelawan Vietnam terdiri daripada mahasiswa 58 universiti di Ho Chi Minh City.

“YSS mahu melihat lebih ramai mahasiswa seluruh Malaysia melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan termasuk di luar negara.

“Selain memerah keringat untuk membantu mereka yang memerlukan, mereka juga boleh menghayati dan mendalami budaya dan cara hidup masyarakat setempat,” kata Lee yang turut teruja dengan semangat para sukalewan YSS.

Turut serta dalam misi tersebut termasuk Ahli Lembaga Pengarah YSS Wan Ahmad Hazman Wan Daud, Ketua Pegawai Eksekutif YSS Muhammad Aiman Mohd Zain dan Konsul Pendidikan Malaysia ke Vietnam Chong Wai Kit.- MalaysiaGazette