Tarian salsa semasa konvokesyen IWEM yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak bertanggungjawab dengan segmen tarian salsa yang diadakan semasa Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia baru-baru ini.

Majlis pada 4 Julai itu merupakan anjuran Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM) yang diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di UPM.

Ia dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof dan tular di media sosial sehingga memburukkan nama UPM.

“Dimaklumkan bahawa Dewan Besar PKKSSAAS UPM tersebut telah disewa oleh IWEM, dan kelulusan diberikan oleh UPM adalah berdasarkan permohonan untuk mengadakan majlis konvokesyen kepada peserta yang tamat menjalani latihan di pusat yang bernaung di bawah IWEM untuk Persijilan Kemahiran Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

“Semua acara dan persembahan adalah di bawah tanggungjawab IWEM. UPM tidak terlibat sama sekali untuk semua program yang disediakan oleh pihak penganjur. Malah persembahan tarian tersebut juga tidak dimaklumkan kepada pihak UPM,” kata UPM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut UPM, sekiranya sesuatu majlis dianjurkan oleh UPM, UPM sentiasa memastikan majlis anjuran universiti mengikut garis panduan konvo yg ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan garis panduan majlis yang telah ditetapkan UPM.

Menurutnya, UPM juga mendapat makluman bahawa IWEM telah mengemukakan surat permohonan maaf kepada Kementerian Sumber Manusia dan juga pejabat Menteri Pembangunan Usahawan atas isu berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf kepada awam melalui kenyataan media.

“Kami masih menunggu permohonan maaf secara rasmi daripada pihak IWEM,” kata UPM.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.