Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap semasa sidang media selepas pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan orang Melayu tidak pandai berpolitik hingga menyebabkan tumbuh terlalu banyak parti politik ketika ini.

Perdana Menteri berkata, akibat terlalu taksub untuk menjadi presiden maka parti politik diwujudkan sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

“Sebenarnya saya sudah terangkan, bahawa orang Melayu ini dia tak pandai politik. Dia seronok nak jadi presiden.

“Nak jadi presiden seronok buka parti, nak jadi presiden kena buka parti nanti lama-lama orang Melayu tiada kuasa langsunglah.

“Sebab itu saya kata kita boleh masuk parti apa pun yang sudah ada cukuplah. Ada empat buah parti cukup,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusika Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi PPBM itu menggariskan empat parti yang wajar disertai orang Melayu iaitu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO.

Jumaat lalu, Mahathir ketika berucap dalam satu majlis di Johor Bahru mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Katanya, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Dalam pada itu Mahathir berkata, kenyataan itu bukan satu perkara rasis atau mahu mewujudkan sentimen, sebaliknya ia bagi menyelamatkan semua orang terutama kaum Melayu.

Ujarnya, orang Melayu kini ketinggalan kerana didalam diri mereka mempunyai sifat tidak mahu bersatu.

“Kalu dilihat orang Melayu ini ketinggalan di belakang sebabnya bukan kerana parti tapi sebab dia tak nak bersatu.

“Parti kita nama parti Bersatu Pribumi. Jadi, baik bersatu sama ada kita kena gugurkan nama bersatu. Tapi, rakan-rakan (parti gabungan dalam PH) saya dapati saya tidak bersalah (guna perkataan bersatu untuk tubuh PPBM),” ujarnya. – MalaysiaGazette