Mohd Sumali (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Dang Wangi tengah hari ini.
Mohd Sumali (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Dang Wangi tengah hari ini.

KUALA LUMPUR – UMNO hari ini membuat laporan polis berhubung penularan dan penyebaran fitnah surat akuan sumpah palsu Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Laporan itu dibuat Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi tengah hari ini.

Semalam tular surat akuan sumpah atas nama Ahmad Zahid dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya menyokong peralihan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahmad Zahid dalam penafiannya menegaskan, beliau tidak pernah menandatangani surat akuan sumpah itu dan menyifatkannya sebagai fitnah jahat dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Kata beliau, semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan.

Dokumen akuan bersumpah bertarikh 2 Julai itu mengandungi perkara antaranya mematuhi apa sahaja keputusan Anwar.

Sementara itu, Muhyiddin turut menafikan mengenai perkara sama dan meminta polis menyiasat penularan dokumen palsu yang disifatkan bertujuan mencemarkan nama baiknya. – MalaysiaGazette