Anthony Loke Siew Fook. foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Projek enaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Di Lembah Klang (KVDT) fasa 2 bernilai  RM4.475 bilion akan dilaksanakan oleh Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd.

Projek tersebut akan memakan masa selama tujuh tahun untuk disiapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, nilai kontrak baharu itu merupakan pengurangan sebanyak 15 peratus berbanding kontrak asal.

Malah menurutnya, projek KVDT fasa 1 telah 80.33 peratus siap pada 30 Jun lalu yang mana setakat ini jumlah perbelanjaannya mencecah RM1.112 bilion.

Menurut Anthony, pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf landasan keretapi pada projek tersebut adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang baik dapat disediakan kepada rakyat.

Justeru katanya, melalui perlaksanaan kerja-kerja itu, jumlah kapasiti, ketepatan masa, kebolehpercayaan dan kekerapan perkhidmatan KTM Komuter dan ETS dapat ditingkatkan.

“Memang tidak dinafikan, pelaksanaan projek ini akan mempengaruhi jumlah kekerapan serta masa perjalanan perkhidmatan tren KTM Komuter dan ETS sedia ada.

“Bagaimana pun, Kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa memantau prestasi perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dalam memastikan setiap pengendali pengangkutan awam melaksanakan tanggungjawab mengikut piawaian yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang meminta kerajaan menyatakan status terkini projek KVDT bagi kedua dua fasa.

Sementara itu, Anthony berkata, kerajaan telah menetapkan peratusan minimum ketepatan waktu sebanyak 9 peratus bagi memastikan kualiti perkhidmatan komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tidak terjejas meskipun dalam fasa pelaksanaan projek menaiktaraf landasan itu.

“Buat masa ini, KTMB secara keseluruhannya telah berjaya mengekalkan ketepatan waktu perkhidmatan pada minimum 95 peratus bermula pada tahun 2017,” katanya. – MalaysiaGazette