Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam tentang penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) yang belum ditunaikan oleh Pakatan Harapan merupakan langkah yang wajar disegerakan.

Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun manifesto PH itu bukan kitab suci tetapi segala janji perlu ditunaikan.

“Itu sewajarnya (jawatankuasa khas PH) sebab walaupun manifesto itu bukan holy book, tetapi janji itu perlu ditunaikan.

“Kalau kerajaan PH nak terus jadi kerajaan yang baik, dia kena laksanakan semua janji-janji manifesto.

“Jika mereka gagal menunaikan janji berkenaan, dalam PRU15 nanti rakyat akan menuntut janji-janji yang masih belum ditunaikan itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa khas yang akan mengkaji janji-janji manifesto PH yang belum ditunaikan.

Sementara itu, Takiyuddin bersetuju had umur calon bertanding pilihan raya dikurangkan kepada 18 tahun.

Katanya, sebagai pembangkang pihaknya sudah mengemukakan beberapa syarat sokongan cadangan pindaan Perlembagaan Perkara 119 (1) dengan beberapa syarat.

“Syarat pertama ialah turun had umur pengundi kepada 18 tahun, kedua pendaftaran secara automatik dan had umur menjadi calon juga diturunkan kepada 18 tahun perlu dilaksanakan serentak.

“Kalau betul Tun setuju pinda rang undang-undang itu kita sokong sebab memenuhi hasrat kita.

“Kalau had umur mengundi turun tetapi had umur calon bertanding tidak dilaksanakan, itu tak boleh kerana sekarang ini nak jadi calon dewan rakyat perlu 21 tahun ke atas sebabnya atau alasannya kerana umur minimum menjadi pengundi adalah 21 tahun ke atas.

“Kalau turun 21 tahun ke 18 tahun sebagai pengundi calon pun sama lah ketiga-tiga kena dipinda termasuk Perkara 47 Perlembagaan melibatkan umur jadi calon,” katanya.

Semalam Dr. Mahathir setuju dengan tuntutan pembangkang untuk meminda ketiga-tiga perkara dalam Perlembagaan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, Rang Undang-Undang untuk bacaan kali pertama boleh dipinda sebelum dibentangkan pada 16 Julai ini di Dewan Rakyat tanpa masalah dengan sokongan undi dua pertiga.

“Kita tak mahu sekadar aku janji, kalau stakat aku janji tetapi tidak ada pindaan tak guna juga, jika nak pinda, pinda semua ketiga-tiga perkara.

“Kita tunggu dan lihat esok sebab semua Ahli Parlimen akan diberi taklimat oleh Tun Mahathir, mungkin termasuk pihak pembangkang juga.

“Saya nampak buat masa sekarang kerajaan hanya nak pinda satu sahaja iaitu Perkara 119(1) turunkan Umur 21 ke 18 tahun itu saja dan cadangan pembangkang iaitu BN Pas dan GPS  minta kalau nak pinda kita kena masukkan bil persendirian merangkumi tiga aspek berkenaan.

“Jadi kami mengalu-alukan jika PM sanggup berbuat demikian nanti seperti dipersetujui semalam,” katanya. – MalaysiaGazette