Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk mengembangkan portfolio hartanahnya di London, mengambil kesempatan kemungkinan United Kingdom (UK) keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, KWSP kini sedang memuktamadkan beberapa perjanjian di United Kingdom.

“Sekarang adalah masa untuk ke United Kingdom. Saya percaya untuk jangka panjang London masih kekal berdaya saing,” katanya dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review.

Sebelum ini, KWSP mengambil alih kemudahan logistik Sport Direct International pada harga AS$150 juta.

Menurutnya, dana pencen itu mahu meningkatkan pelaburan asingnya dengan United Kingdom dianggap sebagai tempat selamat.

Seperti banyak dana besar lain, Alizakri berkata, KWSP perlu berebut peluang dalam sektor pendapatan tetap, ekuiti dan hartanah global kerana hanya ada segelintir aset berkualiti untuk dipilih.

“Kita perlu melabur di luar negeri kerana di Malaysia, kita telah melabur dalam hampir semua sektor ekonom.

“Hasil juga mencabar, oleh itu kita perlu merebut peluang untuk memperoleh aset berkualiti apabila ia muncul dan memenuhi profil risiko kita,” katanya.

KWSP, yang memiliki kepentingan utama dalam beberapa syarikat tersenarai awam terbesar di Malaysia, telah meningkatkan pelaburannya di luar Malaysia sejak 2006 untuk meningkatkan pulangan dan mempelbagaikan risiko.

Di bawah tekanan untuk membayar dividen yang lebih tinggi kepada para pencarum, KWSP bergantung kepada pelaburan asing untuk meningkatkan pulangan di tengah-tengah peluang terhad di Asia Tenggara

KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.15 peratus untuk 2018, lebih rendah daripada 6.9 peratus pada tahun sebelumnya – yang tertinggi sejak krisis kewangan Asia 1997.

Alizakri berkata, sektor e-dagang yang pesat menjadikan logistik sebagai sektor yang semakin bernilai termasuk hartanah di daerah pusat perniagaan di destinasi utama di Asia dan Eropah.

Walaupun KWSP tetap berminat untuk melabur di Amerika Syarikat, undang-undang cukai di sana tidak memberi kelebihan, katanya.

“Kami mempunyai beberapa perimeter dan sekiranya kita pergi ke pasaran yang agak berisiko, mungkin pendedahan tidak terlalu tinggi. Sebagai contoh, Amerika Latin (Brazil dan Columbia) adalah pasaran baharu bagi kami.

“Kami sentiasa terbuka kepada jenis aset yang akan membawa profil pulangan risiko dan sekali lagi ia mesti berpandu oleh peruntukan aset strategik kami,” tambahnya.

Alizakri berkata, KWSP akan terus menyalurkan pelaburan melalui pengurus dana luaran, terutamanya di negara-negara yang belum diterokai secara fizikal oleh KWSP seperti Amerika Syarikat.

Sehingga akhir tahun lalu, jumlah penyumberan luarnya berjumlah AS$27.7 bilion kepada pengurus dana luar, yang melabur merentasi instrumen ekuiti dan pendapatan tetap, mewakili 14.1 peratus daripada jumlah pelabur asetnya.

Katanya, KWSP tetap ragu-ragu untuk menerokai sektor teknologi dan tidak berminat untuk melabur dalam syarikat permulaan yang tidak diketahui.

“Kami tidak berada dalam kedudukan untuk mengambil risiko. Biarkan yang lain masuk dan memulakannya dan jika mereka berjaya, kami tidak keberatan untuk menerokai kemudian di peringkat Tawaran Awam Permulaan (IPO),” katanya. – MalaysiaGazette