Bekas Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Pengarah Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong telah menandatangani surat rayuan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi mempertimbangkan perintah cadangan pembangunan pangsapuri di Jalan Bakti, Bandar Tun Razak, Mukim Kuala Lumpur.

Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Yushanizar Md Yusoff ketika membacakan penyataan saksi berkata merujuk kepada surat itu beliau mengesahkan Tengku Adnan telah menerima surat permohonan dari syarikat berkenaan mengenai cadangan pembangunan 1,208 unit pangsapuri di atas Lot 53427 dan 53653, Jalan Bakti, Bandar Tun Razak.

Beliau yang berkhidmat di DBKL sejak April 2004 sehingga kini berkata berdasarkan kepada surat daripada syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, pihak syarikat berkenaan merayu kepada Tengku Adnan untuk mempertimbangkan perintah cadangan pembangunan itu.

Kata Mohd Yushanizar, rayuan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan antaranya disebabkan 120 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di fasa satu akan dijual dengan harga RM150,000.

“Untuk selebihnya iaitu 484 unit (80 peratus) akan dijual dengan harga di bawah RM200,000 sebagai Rumah Mampu Milik dan untuk fasa kedua, unit pangsapuri harga bebas akan dijual di bawah harga pasaran semasa,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Firdaous Mohamed Idris pada hari keempat perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), setelah menerima surat permohonan Aset Kayamas Sdn Bhd, beliau kemudian menyediakan surat iringan Pejabat Menteri kepada pihak yang berkaitan iaitu Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan terhadap minit arahan yang dinyatakan di atas surat permohonan syarikat itu bertarikh 20 April 2015.

“Saya sahkan, saya telah menurunkan tandatangan saya sendiri pada surat ini sebagai pegawai khas teknikal DBKL kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Tengku Adnan).

“Seterusnya, saya akan membuat semakan susulan ke atas minit arahan yang dibuat oleh menteri (Tengku Adnan) contohnya mengambil maklum mengenai mesyuarat Pusat Setempat (OSC) akan diadakan dan memaklumkan perkara itu kepada menteri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.– BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.