Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Siasatan polis bagi menentukan kesahihan klip video semburit melibatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang individu mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan terganggu dengan kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa video itu palsu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu hanya pandangan peribadi pemimpin nombor satu negara yang mungkin mengambil kira mengenai keseluruhan situasi tersebut.

“Tetapi setahu saya sebagai menteri, polis sedang menyiasat kes ini seperti mana dijelaskan beberapa hari yang lalu pasukan khas telah diwujudkan khas untuk menyiasat mendalam berlunaskan undang-undang.

“Tindakan ini bagi mengesahkan individu yang terbabit serta video itu sama ada tulen atau palsu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen tengahari tadi.

Tambah beliau, proses itu tidak akan mengambil masa yang agak panjang, namun polis perlu diberi ruang dan masa untuk menyiasat.

“Polis juga tidak berdepan sebarang tekanan kepada pasukan khas untuk menyegerakan proses siasatan dan saya percaya mereka akan melakukan yang terbaik berdasarkan segala undang-undang yang diperuntukkan.

“Ia akan membolehkan kita memperolehi fakta sebenar di sebalik video itu apabila siasatan dilengkapkan pasukan khas itu,” katanya.

Ditanya jaminan polis akan bebas dan telus ketika menjalankan siasatan memandangkan kenyataan Dr. Mahathir, Ahli Parlimen Pagoh itu memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara bebas.

“Saya beri jaminan segala siasatan dalam kes ini akan dilakukan secara bebas oleh polis sebab integriti kerajaan dan kita tunggu sahaja hasil laporannya kelak,” katanya. – MalaysiaGazette