Paul Yong Choo Kiong.

IPOH – Exco Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong hari ini menafikan tuduhan kononnya beliau telah merogol pembantu rumahnya.

Yong berkata beliau amat terkejut serta keliru dengan tuduhan palsu yang dilemparkan kepadanya.

“Saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia,” tegas Yong dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh itu berkata, bagi membersihkan namanya daripada tuduhan bersifat fitnah itu, beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan.

“Saya telah membawa saksi-saksi untuk membantu siasatan polis bagi menunjukkan bahawa ia merupakan tuduhan fitnah semata-mata,” katanya.

Yong berkata beliau menghormati proses undang-undang yang sewajarnya serta percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

Dalam pada itu Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid mengesahkan Exco berkenaan ditahan semalam dan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin, seorang pembantu rumah Yong, wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Jelapang mendakwa dirogol Exco berkenaan di rumah majikannya itu di Meru, di sini.

— BERNAMA

Artikel berkaitan