Laluan baharu projek ECRL selepas kerajaan memeterai perjanjian tambahan dengan China.

KUALA LUMPUR- Pengurangan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah disebabkan oleh semakan semula terhadap aspek kejuruteraannya dan bukannya akibat pengecilan skala.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan berjaya mengurangkan kos projek tersebut sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion berbanding kos asalnya RM65.5 bilion.

“Pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion itu dicapai menerusi semakan semula aspek kejuruteraan di samping nilai kejuruteraan yang merangkumi kesemua aspek pelaksanaan projek tersebut,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Jelas Anthony, walaupun stesen Bentong, Gombak Utara, ITT Gombak, Telaga Papan, Jelawat, Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu dimansuhkan namun ianya bakal diganti dengan stesen-stesen baharu seperti Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral, Pelabuhan Klang dan beberapa stesen lain di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ini bermakna tiada pengecilan skala terhadap projek ECRL,” katanya lagi.

Anthony menjawab soalan Datuk Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menanyakan sama ada pengurangan kos projek ECRL adalah disebabkan skop projek tersebut telah dikecilkan.

Beliau juga mengakui laluan bagi seksyen Kota Bharu-Wakaf Bharu-Pengkalan Kubor tidak akan dilaksanakan mengikut cadangan asal kerana ianya tidak memberi nilai tambah yang signifikan terhadap rangkaian pengangkutan rel di dalam negara ketika ini.

Bagaimanapun menurut beliau, rangkaian Perhubungan Utara itu akan dikaji semula pada masa akan datang.

Dalam satu soalan tambahan daripada Siti Zailah Mohd. Yussof (PAS-Rantau Panjang) yang bertanyakan mengenai peningkatan penglibatan kontraktor bumiputera selepas pemeteraian perjanjian tambahan menetapkan 40 peratus kerja-kerja sivil akan diberikan kepada syarikat tempatan.

Loke menegaskan, peningkatkan kontraktor tempatan adalah sebanyak 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

“Mengapa soalan ini tidak ditanyakan kepada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini?

“Di bawah kerajaan terdahulu, penglibatan syarikat tempatan cuma 30 peratus dan kami menaikkannya kepada 40 peratus,” katanya.

Anthony turut menafikan dakwaan projek ECRL tidak akan memberi manfaat kepada negeri-negeri pembangkang.-MalaysiaGazette