Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan mengapa kerajaan negeri Johor tidak senada dengan kerajaan Pusat apabila pemimpinnya bertindak membuat pusingan U ke atas pindaan had umur belia.

Lantaran itu, beliau mendesak agar kerajaan negeri Johor memberikan alasan kukuh mengapa tindakan itu dibuat setelah pindaan diluluskan di peringkat Dewan Rakyat.

“Saya pun hairan kenapa perkara itu berlaku kerana ini telahpun dibincang panjang lebar dalam Dewan Rakyat, di mana wakil Johor pun menyokong dan kita harap kerajaan negeri Johor boleh menjelaskan perkara itu secara mendalam.

“Kalau perlu, Menteri Belia dan Sukan perlu jumpa dengan pihak Sultan Johor untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan mengkaji kesan tindakan kerajaan negeri Johor yang bertindak membuat pusingan U mengenai pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, pihak Istana Johor hanya boleh memberikan pandangan dan tidak perlu untuk mencampuri soal pentadbiran negeri berkenaan.

Malah, katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal perlu segera mengadakan pertemuan dengan pihak Istana bagi memberikan penerangan kepada isu terbabit.

“Saya minta pihak Menteri Besar Johor timbang masak-masak, boleh pergi jumpa dan jelaskan dengan Istana dan diharap Istana tidak mencampuri, pandangan boleh tapi keputusan itu baik sebab Johor sebagaimana negeri lain ikut seragamkan perkara sama.

“Ini kerana akta sudah dibuat di peringkat nasional walaupun isu belia melibatkan kedua-dua pihak. Tapi untuk faedah nasional, ia wajar diseragamkan. Pandangan saya elok Johor terima,” katanya lagi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut ditanya sama ada benar wujud khabar angin mengatakan perubahan had umur itu berpunca daripada campur tangan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Muhyiddin bagaimana tidak boleh mengesahkannya.

“Tidak tahu, saya pun baca dari surat khabar, dia kata ini arahan daripada pihak istana, Saya tidak tahu ia betul ataupun tidak.

“Tapi itulah, Exco (Johor) buat  keputusan ‘U-turn’. Saya pun tak tahu betul atau tidak.

“Kalau betul, dia mesti fikir masak-masak. Dan kalau disebabkan pihak istana, tidak mengapa,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/08/umur-belia-johor-kekal-15-40-tahun-dr-sahruddin/