Radzi Tajuddin
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berucap pada sidang media Hi Home Property Conference 2019 di Royal Lake Club, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Hi HOME bakal menjadi platform untuk kupasan idea, perbincangan solusi baharu dan pengenalan teknologi terkini bagi membantu kerajaan dalam menangani isu pemilikan rumah di Malaysia khususnya golongan belia.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berkata, kadar pemilikan rumah yang rendah di Malaysia sekitar 43 peratus akan ditangani melalui dua komponen Hi HOME iaitu Persidangan Hartanah dan Ekspo Hartanah Online.

Persidangan Hartanah Hi HOME merupakan platform bagi semua pihak berkepentingan di dalam industri hartanah melibatkan pihak kerajaan, penjawat awam, sektor korporat, penyelidik hartanah dan personaliti belia.

“Hi HOME diperkenalkan kerana konsep pemilikan rumah perlu dinilai semula dan diberikan nafas baru.

“Berdasarkan pengalaman Hartabumi.com selaku pengendali portal hartanah yang terlibat secara langsung dengan isu ini sejak 2015, isu pemilikan rumah bukan sahaja berkisar mengenai harga rumah semata-mata.

“Ianya turut melibatkan faktor seperti model pembiayaan baharu, polisi perumahan yang progresif, produk mesra pasaran, aspirasi belia serta teknologi yang memudahkan bakal pembeli,” katanya pada sidang media Hi HOME di Kelab DiRaja, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar kenangan bersama barisan penaja ketika hadir pada sidang media Hi Home Property Conference 2019 di Royal Lake Club, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 JULAI 2019.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Persidangan satu hari itu bakal berlangsung di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) pada 25 Julai ini dan dijankga dihadiri lebih 700 delegasi, terdiri daripada pemaju hartanah, institusi kewangan, syarikat teknologi, penjawat awam serta golongan belia.

Antara personaliti bakal hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes; Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Yang Mulia Tengku Zafrul Aziz; Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Seri Ir DrJudin Abdul Karim; Pengarah Penyelidik Khazanah Research Institute dan Pengasas Akademi Propenomy, Dr Daniele Gambero.

Radzi juga berkata, sebanyak 100 projek perumahan di seluruh negara dengan 50 peratus daripadanya adalah projek rumah mampu milik bakal ditawarkan sepanjang Expo Hartanah Online Hi Home 2019.

“Dianggarkan nilai keseluruhan stok hartanah kediaman yang dijual bernilai RM3.4 bilion.

“Terdapat beberapa teknologi baharu bakal diguna pakai seperti pengiraan profil kewangan pembeli, data transaksi mengikut kawasan dan smart chat box untuk memudahkan proses urus niaga.

“Kami menyasarkan sejuta pengunjung terutamanya golongan belia untuk melayari ekspo dalam talian ini,” katanya.

Hi Home mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Perak. – MalaysiaGazette