Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kesihatan melantik Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia sebagai satu tindakan menghina undang-undang negara serta tidak sensitif dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkata, Kementerian Kesihatan tidak boleh berdolak-dalik kononnya tindakan tersebut sebagai memastikan golongan transgender turut diwakili kerana transgender itu sendiri pun sudah bertentangan dengan Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25,26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-wilayah Persekutuan.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mengamalkan gaya hidup transgender ini, sekali gus meletakkan pelakunya sebagai penjenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“DPPM mempesoalkan adakah langkah kerajaan ini merupakan satu percubaan untuk mengiktiraf golongan transgender sekali gus membenarkan mereka mengamalkan gaya hidup songsang selepas ini?

“Adakah dengan alasan kononnya transgender perlu diwakili maka selepas daripada ini setiap pelaku jenayah yang lain pula berhak untuk diwakili dalam jawatankuasa yang berkaitan dengan mereka?,” soalnya.

Tegas beliau lagi, alasan Kementerian Kesihatan bahawa ini bukan kali pertama golongan transgender dilantik sebagai ahli jawatankuasa di dalam CCM hanyalah alasan yang sangat rapuh.

“Adakah sekiranya perkara tersebut jelas melanggar undang-undang negara dan juga syariah Islam, ia wajib diteruskan semata-mata kerana ia sudah dilaksanakan sebelum ini?,” tanya Ahmad Fadhli lagi.

Menurutnya, DPPM berpandangan golongan transgender seperti juga komuniti lesbian, gay dan homoseksual perlu didekati dan disantuni agar mereka tidak tersisih daripada masyarakat dan dapat meninggalkan gaya hidup mereka yang songsang.

Namun dalam masa yang sama, tidak boleh sama sekali bertolak ansur dengan memberikan mereka pengiktirafan dan juga kebenaran untuk mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan undang-undang negara,  sekali gus undang-undang syariah Islam, jelasnya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/09/pelantikan-rania-zara-ikut-prosedur/