Model Harley-Davidson Fat Boy yang diperbuat daripada kepingan Lego

BILLUND, Denmark Kumpulan Lego memperkenalkan model terbaharu Harley-Davidson® Fat Boy® yang akan berada di pasaran seluruh dunia bermula 1 Ogos ini.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Lego berkata, model tersebut merupakan hasil kerjasama kumpulan tersebut dengan Harley-Davidson.

Dengan 1,203 kepingan, model Harley-Davidson Fat Boy ini turut dilengkapi roda, tangki minyak air mata, meter kelajuan bersepadu dan dua paip ekzos.

Model yang telah siap berukuran 20 sentimeter (sm) tinggi x 18 sm lebar dan 33 sm panjang.

Disempurnakan dengan skim warna merah gelap dan hitam sama seperti skim warna Fat Boy Wicked Red 2019, model Lego ini menampilkan logo Harley-Davidson di kedua-dua belah motosikal menjadikannya sebagai hiasan tumpuan yang sangat sesuai untuk diletakkan di kediaman mahupun di pejabat.

“Membawa motosikal Harley-Dividson kepada kehidupan Lego adalah sesuatu yang sangat mengujakan.

“Model ini benar-benar menampilkan rekaan yang ikonik, kejuruteraan terkini dan perincian yang sangat kemas dengan menampilkan terhadap ciri ikonik yang ada pada motosikal hebat ini.

“Ia sekali gus memberikan pengalaman yang menarik untuk pengumpul barangan Harley-Davidson dan peminat Lego di setiap peringkat umur,” kata Ketua Pereka Kumpulan Lego.

Ahli VIP Lego boleh memiliki model terbaharu ini bermula 17 Julai manakala orang awam boleh mendapatinya di semua kedai Lego atau secara dalam talian pada 1 Ogos depan.- MalaysiaGazette