Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama panel Forum Perniagaan Global Malaysia - 'The Future of Rare Earth Industries in Malaysia' di Hotel Hiton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi menarik pelaburan bernilai RM100 bilion dalam masa 10 tahun akan datang menerusi industri hilir nadir bumi.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, industri hilir nadir bumi di negara ini berpotensi besar menarik lebih ramai pelabur yang mampu melonjakkan sektor ekonomi negara.

Katanya hasil perbincangan dengan para pelabur menunjukkan mereka menyatakan minat untuk melabur besar di negara ini tetapi mereka terlebih dahulu mahukan pendirian serta jaminan kerajaan dalam industri tersebut.

“Mereka sememangnya berminat untuk melabur di negara kita pada skala besar dalam sektor industri hilir nadir bumi.

“Dan bagi saya mereka boleh bermanfaat menerusi pelaburan bernilai RM100 bilion dalam nadir bumi pemprosesan dan pengeluaran.

“Undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga sudah ada cuma mereka perlu mematuhi segala peraturan selain harus menjelaskan bagaimana hendak ,menguruskan sisa toksik mengelak kesan kepada alam sekitar dan kesihatan,” katanya dalam sidang media di ibu negara.

Terdahulu, beliau hadir dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat Masa Depan Industri Nadir Bumi anjuran Forum Perniagaan Global Malaysia.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga mengalakkan pemain industri nadir bumi tempatan supaya mengambil langkah dan inisiatif menjelaskan kepada rakyat bagaimana perindustrian ini selamat dan jauh daripada risiko kesihatan.

Justeru katanya, undang-undang melindungi alam sekitar daripada dicemari sisa sudah dikuatkuasakan kerajaan.

“Kita ada logi pemprosesan minyak mentah yang menyaksikan pengeluaran sisa toksik pada skala yang besar.

“Jadi pemain industri berkenaan khususnya pelabur harus terlebih dahulu perlu menerangkan kepada kerajaan bagaimana mereka boleh menguruskan pengeluaran sisa supaya tidak membawa impak alam sekitar dan umat manusia seperti yang sentiasa dikhuatiri masyarakat tempatan.

“Kami juga mempunyai alaman kejuruteraan yang tersusun dan menepati standard kualiti antarabangsa serta terbaik di dunia dan kita negara pemproses nadir bumi kedua terbesar dunia selepas China,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.