KUANTAN – Seorang pelajar mendakwa menjadi mangsa penipuan Macau Scam selepas diperdayakan menerusi panggilan telefon yang kononnya datang daripada pihak ‘mahkamah’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pelajar perempuan berusia 21 tahun itu mendakwa kerugian RM4,140 akibat ditipu.

“Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada wanita yang mewakili Mahkamah Melaka sekitar 1 tengah hari semalam, mengatakan terdapat individu telah menggunakan kad kreditnya untuk membeli dadah.

“Mangsa menafikan perkara itu, namun panggilan itu kononnya disambung ke Ibu Pejabat Kontinjen Melaka atas alasan dia perlu bercakap dengan pegawai penyiasat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa telah memberi nombor akaun dan kata laluan perbankan dalam talian miliknya kepada suspek kedua, kononnya bagi urusan siasatan.

Kira-kira setengah jam selepas tamat perbualan itu, mangsa kemudiannya membuat semakan baki akaunnya dan mendapati jumlahnya berkurangan, lalu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette