Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

KUALA LUMPUR- Penagih dadah kini bukan penjenayah apabila kerajaan bersetuju mengeluarkan kesalahan-kesalahan berkaitan penagihan dadah daripada didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.

Fungsi jawatankuasa tersebut adalah untuk menyemak semula isu-isu perundangan berkaitan dadah sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membenteras Dadah yang dipengerusikan Perdana Menteri, katanya.

Mesyuarat tersebut juga mencadangkan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk mendefinisi semula penagih dan pengguna dadah, menyemak semula kuasa-kuasa Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung pengendalian Pusat Pemulihan Dadah Persendirian dan lain-lain.

“Pewujudan satu jawatankuasa kerja untuk merangka kempen mencegah penyalahgunaan dadah akan diterajui oleh AADK melibatkan semua peringkat termasuk kerajaan negeri.

“Kempen di peringakat kebangsaan akan dilancarkan oleh perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga menjangkakan pindaan berhubung kesalahan berkaitan ketum dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

Menurut Muhyiddin, Kementerian Kesihatan Malaysia ketika ini sedang dalam tindakan membuat pindaan tersebut.

Untuk rekod ketum tidak disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya sebelum ini, bagaimanapun KKM berhasrat untuk meminda akta tersebut bagi mengawal penanaman, pemilikan dan pengedaran tumbuhan tersebut.

Bagi mengawal aktiviti penyeludupan dadah pula, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membeli 20 mesin pengimbas kargo dan ianya dalam proses perolehan ketika ini.

Selain itu, satu projek rintis AADK dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial di 12 kawasan di semenanjung akan dilaksanakan.

Kawasan projek yang terlibat adalah Pulau Langkawi, Felda Lubuk Merbau dan Kuala Kedah di Kedah; Perling, Tampoi, Skudai dan Parit Sulong di Johor; Pengkalan Chepa di Kelantan; Kuala Dungun, Terengganu; PPR Sungai Bonus di Kuala Lumpur dan Felda Keratong 3 di Pahang.

Kawasan-kawasan ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi, menurut Muhyiddin.

Projek yang dijalankan katanya, akan dijadikan model untuk diperluaskan ke seluruh negara sejajar matlamat Dasar Dadah Negara. – MalaysiaGazette