Azmin Ali
Mohaned Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Walaupun Malaysia akan terkesan dengan pertumbuhan perlahan ekonomi dan perdagangan global serta perang perdagangan Amerika Syarikat dan China tetapi permintaan domestik terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar 4.7 peratus pada tahun 2018 dan menyederhana kepada 4.5 peratus pada suku pertama 2019.

Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan ini masih dalam lingkungan sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2019, iaitu antara
4.3 hingga 4.8 peratus.

Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga telah mendorong pelabur-pelabur Beijing beralih operasi perniagaan ke Asia Tenggara dan ini akan menguntungkan ekonomi Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, situasi itu membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China terutamanya minyak sawit yang merupakan barangan pengganti kepada minyak soya dan jagung.

Pada bulan Mac 2019, syarikat Malaysia telah berjaya menandatangani perjanjian bernilai hampir AS$900 juta bagi membekal 1.62 juta tan minyak sawit ke China.

Dalam tempoh Januari hingga April 2019, eksport minyak sawit Malaysia ke China telah meningkat hampir 255,000 tan dengan nilai eksport sebanyak RM1.4 bilion.

“Usaha terus dikekalkan untuk menjana pertumbuhan ekonomi domestik terutamanya di dalam mempromosikan aktiviti pelaburan dan permintaan penggunaan,” katanya ketika menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara Amerika Syarikat dan China mutakhir ini.

Seperti mana yang ditekankan oleh Perdana Menteri di sidang kemuncak ASEAN ke 34 di Bangkok tempoh hari, Malaysia juga komited untuk meningkatkan inisiatif perdagangan dan mengambil peluang daripada ekonomi negara ASEAN yang mempunyai hampir 650 juta penduduk.

Dalam hal ini, kata Azmin, usaha khusus perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan dagangan di antara 10 negara ASEAN. – MalaysiaGazette