Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan mengkaji kesan tindakan kerajaan negeri Johor yang bertindak membuat pusingan U mengenai pindaan had umur belia daripada 30 kepada 40 tahun.

Beliau berkata, tindakan pusingan U oleh kerajaan negeri Johor itu juga tidak dimaklumkan kepada kerajaan pusat.

“Kita nak kaji apa kesannya kenapa dia (Kerajaan Negeri Johor) buat benda ini.

“Kita tak tahu dengan mendalam tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan Johor,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Johor yang dipimpin Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang membuat pusingan U dengan mengumumkan untuk mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Menurut Exco Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali dalam kenyataan media semalam berkata, keputusan terbaru itu dibuat selepas “perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak”.

Ditanya mengenai dakwaan Sheikh Umar bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga, Dr Mahathir bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh komen tentang khabar angin. Saya pun tak tau ni baru dengar,” katanya kepada media.

Petang semalam, media melaporkan kerajaan Johor menerima baik pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun yang diputuskan Kerajaan Persekutuan dan mendapat konsensus Majlis Presiden PH.

Sheikh Umar dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco yang dipengerusikan Dr Sahruddin.

Keputusan terbaru kerajaan Johor itu mengulangi kenyataan Menteri Besar yang dilaporkan media semalam, apabila memutuskan untuk mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan dirangka, khusus membabitkan belia di negeri ini tidak akan terbantut pelaksanaannya. -MalaysiaGazette