Antara dokumen yang dibawa ke perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Permohonan pinjaman yang diberikan  Kumpulan Wang Persaraan Diperbadanankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd perlu melalui proses yang tekah ditetapkan.

Menurut bekas Pengerusinya Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, ketetapan itu perlu dipatuhi meski mendapat permintaan khas daripada bekas Perdana Menteri untuk menggandakan pinjaman.

“Tak kira bagaimana atau bila permintaan dibuat, kita tetap perlu lalui proses biasa,” katanya kepada Mahkamah Tinggi.

Namun Datuk Seri Najib Razak tambahnya, akur dengan keputusan KWAP pada awalnya untuk tidak menggandakan pinjaman syarikat tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan balas oleh peguam bekas Perdana Menteri itu, Farhan Read.

Farhan: Anda sampaikan maklumat (keputusan panel) kepada Najib, dan dia tak kata apa-apa?

Aziz: Ya (setuju).

Farhan: Itu bukan pertemuan rasmi, tetapi anda hanya pergi untuk berjumpanya?

Aziz: Ya.

Farhan: Anda setuju yang selepas memaklumkan keputusan panel pelaburan, Najib nampak biasa?

Aziz: Dia (Najib) tidak kata apa-apa.

Terdahulu Wan Abdul Aziz yang merupakan saksi ke-45 berkata, Najib meminta KWAP menggandakan pinjaman SRC International kepada RM2 bilion, sekali ganda daripada permohonan asal..

Untuk rekod, Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1Mlaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette