Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan mana-mana pihak agar tidak menuding jadi terhadap Istana Johor ekoran pusingan U yang dibuat oleh kerajaan negeri itu berhubung had umur belia.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal perlu memberikan penjelasan agar segala usaha kerajaan pusat selari dengan pentadbiran negeri Johor.

“Itu (khabar angin campur tangan Istana Johor), saya tak dengar khabar (begitu).

“Usah buat telahan dan perlu dapat penjelasan (kerajaan negeri Johor), selesaikan dengan baik,” katanya di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Anwar memberikan kepercayaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyelesaikan kemelut ini.

Katanya, Syed Saddiq berhak untuk mendapatkan penjelasan Dr. Sahruddin dalam masa terdekat.

“Saya percaya Syed Saddiq akan dapat penjelasan dari dia (Dr. Sahruddin) dan terangkan rasional keputusan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Exco Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali semalam memaklumkan mesyuarat exco kerajaan negeri telah menerima baik pindaan umur belia 15-30 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat.

Namun pada hari yang sama, Sheikh Umar sekali lagi membuat pusingan U dan mengumumkan untuk mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. -MalaysiaGazette