Wan Ji Wan Hussin
Wan Ji Wan Hussin

KUALA LUMPUR- Pemuda Pakatan Harapan mendesak pendakwa raya memberi penjelasan segera mengapa hukuman lebih berat dikenakan ke atas penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman;  Ketua Pemuda Sosialis DAP, Howard Lee Chuan How; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Sany Hamzan, mereka juga menggesa kerajaan menyegerakan pemansuhan Akta Hasutan supaya pelanggaran hak sedemikian tidak lagi berulang.

“Pemuda Pakatan Harapan ingin melahirkan rasa kebimbangan di atas susulan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara kepada Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan.

“Kami difahamkan bahawa hukuman yang telah diputuskan juga adalah terlalu berat dan tidak mengikut kecenderungan hukuman denda yang diselalunya disabitkan di bawah Akta Hasutan.

“Kami ingin mengulangi komitmen kami pada janji ke-21 manifesto Pakatan Harapan untuk memansuhkan semua akta zalim, termasuklah Akta Hasutan 1948 demi kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap penasihat agama Lim Guan Eng itu dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Wan Ji mula menjalani hukuman di Penjara Kajang semalam.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Hina sultan, Wan Ji ke penjara satu tahun

Zaid, Wan Ji ‘diprogram’ DAP jatuhkan institusi beraja