Nur Umairah Jannah Abdul Muhaimin yang menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak.

KUALA LUMPUR – Bayi yang menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak sejak lahir, Nur Umairah Jannah Abdul Muhaimin menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam.

Wakil jiran bayi itu, Mastura Meor Razali yang mengesahkan berita sedih itu memberitahu Nur Umairah yang berusia lapan bulan meninggal dunia di Hospital Cancelor Tuanku Muhriz, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Tersusun Kledang Utama, Perak.

Penyakit Nur Umairah itu menyebabkan kepalanya semakin membengkak dan membesar, sekali gus membataskan pergerakannya yang hanya mampu bermain dalam keadaan berbaring.

Kisah bayi istimewa tular dan dia mendapat bantuan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di dalam mahupun luar negara.

Masalah kesihatan bayi itu turut mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meluangkan masa menziarahinya pada Isnin lalu. – MalaysiaGazette