Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bersalaman bersama Presiden UIAM yang baharu, Dr Mohd Daud Bakar.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Daud Bakar telah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kelapan selama tiga tahun berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Pelantikan beliau telah diperkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Mohd Daud adalah bekas Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) dari tahun 2002 hingga 2005.

Mohd Daud juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pemegang Amanah Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Beliau juga banyak menganggotai Badan Penasihat Syariah institusi kewangan Islam di dalam dan di luar negara, juga mengasaskan syarikat khidmat nasihat kewangan Islam iaitu Amanie Advisors.

Pada 2014, Mohd Daud dianugerahkan gelaran “Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul” oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sg Korok Baru, Alor Star, Kedah (1970-1976), Maktab Mahmud (1977-1979) dan Kolej Islam Klang (1980-1983), Mohd Daud kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di University of Kuwait (1983-1988) dan seterusnya memperoleh Ph.D. dari University of St Andrews, United Kingdom (1990-1993).

Sepanjang dua dekad dan hinggalah ke hari ini, Mohd Daud kian aktif dan menjadi antara pendokong terbilang kewangan Islam.

Dengan perlantikan ini juga, beliau boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah menjadikan universiti ini dihormati oleh masyarakat dalam negara dan antarabangsa, menurut UIAM dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette